Aishwarya Rai Bachchan sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon global apabila kembali memukau dunia di Festival Filem Cannes 2025.
Seperti tradisi tahunannya, kehadiran bintang Bollywood itu seakan melengkapkan permaidani merah French Riviera.
Untuk penampilan pertamanya tahun ini, Aishwarya memilih saree gading rekaan Manish Malhotra, lengkap dengan gaya klasik belahan tengah rambut yang menjadi signature-nya.
Namun, tumpuan utama terarah kepada sapuan sindoor merah terang di dahinya iaitu simbol perkahwinan yang sekali gus menutup segala khabar angin tentang perpisahan dengan suami, Abhishek Bachchan.
Malam berikutnya, Aishwarya tampil lebih berani dan moden dengan busana khas rekaan Gaurav Gupta iaitu gaun hitam sarat sulaman tangan dengan kristal mikro kaca yang berkilau di bawah pancaran lampu Cannes.
Menambah keunikan, beliau menyarung cape Banarasi brokat dengan ukiran shloka Sanskrit dari Bhagavad Gita, memberi sentuhan warisan budaya yang membanggakan.
Rambutnya disisir ke sisi, memberi nafas segar kepada penampilannya, manakala gincu merah menyala menambah elemen dramatik yang memukau.
Penampilan dua malam berturut-turut ini membuatkan ramai peminat menyifatkan Aishwarya sebagai “pemenang sebenar Festival Filem Cannes”.
Di media sosial, dia digelar sebagai ‘bintang’ dan ‘dewi’ permaidani merah tahun ini. – BOOM!










