Pelakon dan pengarah terkenal Indonesia, Baim Wong tampil mendedahkan keputusan pemeriksaan kesihatan menyeluruh yang dijalani di sebuah hospital terkemuka di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Baim atau nama sebenarnya Muhammad Ibrahim, 44, meluahkan rasa syukur apabila didapati bebas daripada sebarang penyakit serius termasuk kanser, HIV dan gangguan mental.
“Alhamdulillah saya sihat. Tak ada kanser, ketumbuhan, HIV atau penyakit lain. Cuma kolestrol sahaja tinggi kerana masih suka makan makanan laut, keju dan daging merah. Tetapi semuanya okey.”
Bukan sekadar fizikal, Baim turut menjalani ujian mental bagi menangkis spekulasi segelintir netizen yang mendakwa dirinya menghidap Narcissistic Personality Disorder (NPD) susulan isu penceraiannya dengan Paula Verhoeven yang hangat diperkatakan di media Indonesia.
“Saya juga telah melakukan ujian mental. Alhamdulillah saya sihat, tak ada penyakit mental yang perlu saya khwatir. Allah maha baik.”
Dalam hantaran sama, pengarah filem Lembayung itu turut berkongsi pandangannya bahawa penyakit adalah isu peribadi dan sensitif, bukan untuk tontonan awam.
“Penyakit itu adalah privasi seseorang dan kadang-kadang merupakan luka bagi orang tersebut. Kalau boleh janganlah dicanangkan kepada orang awam. Rahsiakan. Kesian orang tersebut.”
Baim menegaskan, apabila seseorang berdepan ujian kesihatan yang berat, perkara paling diperlukan bukanlah perhatian dunia tetapi pemahaman, perlindungan dan kesetiaan daripada insan terdekat. – BOOM!