Majlis rumah terbuka dan majlis meraikan perkahwinan usahawan kontroversi, Jofliam dan isterinya Dewi, yang turut menampilkan agihan pizza wagyu percuma, bertukar tular apabila segelintir tetamu meluahkan rasa kecewa dengan hidangan yang disajikan.
Menerusi satu hantaran yang mendapat perhatian di platform Threads, seorang tetamu memuat naik gambar dua potong pizza wagyu yang didakwanya terlalu kecil dan kelihatan hangus.
“Indah khabar dari rupa,” tulisnya, menyatakan bahawa intinya sangat sedikit dan saiznya jauh berbeza dari apa yang diiklankan oleh Jofliam sebelum ini.
Bukan itu sahaja, warganet lain turut berkongsi pengalaman yang sama, termasuk ada yang mendakwa perlu beratur panjang dan ‘battle’ dengan lebih 8,000 tetamu untuk mendapatkan pizza eksklusif tersebut.
“Roti nan mamak pun lagi menyelerakan,” sindir seorang pengguna, yang jelas kecewa dengan kualiti makanan yang dihidangkan secara percuma itu.
Tuan rumah dituduh tidak ikhlas dalam menyajikan juadah kepada tetamu, terutama apabila sebahagian besar hidangan pizza dikatakan tidak memenuhi jangkaan, malah ada yang terlalu garing hingga kehangusan.
Terdahulu, Jofliam memaklumkan akan mengagihkan 300 pizza wagyu secara percuma sempena majlis perkahwinannya sebagai tanda penghargaan kepada tetamu dan peminat yang hadir.
Namun, niat baik itu kini berdepan kritikan – sekaligus menimbulkan perdebatan hangat di media sosial mengenai kualiti dan ketulusan dalam memberi. – BOOM!