Penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah, mengakui tidak sanggup bersikap terlalu tegas terhadap anak perempuannya, Alleia Anata, yang kini berusia 20 tahun.
Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, 44, berkata, pendekatan yang lembut dan terbuka lebih sesuai untuk mengekalkan hubungan rapat antara mereka berdua.
“Saya sedaya upaya cuba untuk tidak bersikap posesif. Apa yang saya lakukan kepada anak saya itu hanya mengikut pengalaman hidup,” katanya.
Menurut Ariel, dia bimbang jika terlalu banyak larangan atau kawalan dikenakan, anaknya akan menjauh dan enggan berkomunikasi dengannya.
“Saya lebih takut kalau dia (Alleia) tidak mahu bercakap dengan saya jika terlalu banyak larangan yang saya beri. Apa yang penting, dalam usia anak-anak seperti itu, tak perlulah kita nak bertegas sangat,” tambahnya lagi.
Perkara itu dikongsikan Ariel dalam sebuah program podcast Curhat Bang Denny Sumarga yang dimuat naik ke saluran YouTube baru-baru ini.
Bagi Ariel, kesilapan yang dilakukan anak-anak adalah sesuatu yang biasa kerana mereka masih kurang pengalaman dalam hidup. Namun, ibu bapa tetap bertanggungjawab untuk memberi teguran dan bimbingan yang wajar.
Tambah Ariel secara berseloroh, anaknya sudah pun mendapat teguran yang cukup daripada bekas isterinya, Sarah Amalia, yang jauh lebih garang berbanding dirinya.
Sebagai info, Ariel dan Sarah berkahwin pada tahun 2005, namun berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Alleia Anata. – BOOM!