Selepas sekian lama terpisah, dua pelawak, Mamat (Mohd Noor Murad) dan Shuib (Shahmira Muhamad), akhirnya kembali bersatu – bukan sekadar di pentas seni, tetapi kali ini sebagai tetamu Allah di Tanah Suci.
Momen menyentuh hati itu dikongsikan sendiri oleh Mamat, 40, menerusi hantaran Instagram miliknya.
“Terpisah hanya untuk sementara agar kita faham erti persahabatan. Tak terduga hadir beribadah bersama di sini dengan membawa sejuta kisah,” tulis Mamat penuh emosi.
Menurut Mamat, perpisahan yang pernah berlaku antara mereka rupa-rupanya membawa hikmah yang cukup besar.
“Semoga teman-teman yang lain menjadi tetamu istimewa di sini satu hari nanti. Amin,” tambahnya lagi.
Menerusi ruangan komen, Shuib, 41, turut meluahkan rasa syukur dapat mengerjakan ibadah umrah bersama sahabat lamanya itu.
“Cerita kita luar biasa, Allah tulis untuk kita faham apa itu erti persahabatan. Semoga kita bersahabat sampai syurga Mat,” tulis Shuib.
Rata-rata peminat dan warganet turut tersentuh melihat keakraban yang kembali terjalin, serta mendoakan persahabatan mereka kekal selamanya.
Untuk rekod, Mamat dan Shuib merupakan anggota kumpulan lawak Sepah yang turut dianggotai Jep Sepahtu.
Mereka pernah mengecap populariti menerusi program Raja Lawak dan Maharaja Lawak sebelum membawa haluan masing-masing dalam dunia seni. – BOOM!