Pelakon Anzalna Nasir sekali lagi menjadi perhatian selepas usahanya membantu sebuah keluarga yang hidup dalam kesusahan mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia.
Terbaharu, keluarga tersebut memaklumkan mereka telah menerima sumbangan mencecah RM10,000 hasil bantuan orang ramai selepas Anzalna berkongsi nombor akaun bank milik mereka di media sosial.
Individu berkenaan meluahkan rasa terkejut dengan jumlah besar yang diterima.
“Kak (Anzalna), banyak betul duit yang dah masuk, RM10,000. Menggigil tangan saya ni kak. Masya-Allah, duit ini boleh ke saya beli kereta? Bergetar tangan dan kaki dapat sebanyak ini.”
Tangkap layar mesej tersebut turut dikongsikan Anzalna menerusi Instagram Story, sebagai bukti keprihatinan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Anzalna turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan membantu keluarga berkenaan.
“Terima kasih rakyat Malaysia yang prihatin. Sekejap sahaja letak nombor akaun, kita semua berjaya membantu keluarga yang memerlukan.”
Walau bagaimanapun, aktres itu mengambil keputusan untuk memadam nombor akaun keluarga tersebut atas faktor keselamatan.
“Semoga urusan mereka dipermudahkan dan Allah permudahkan juga urusan kita semua. Atas nasihat dan demi keselamatan, saya terpaksa padam nombor akaun keluarga itu.”
Terdahulu, Anzalna telah membantu sebuah keluarga kecil yang berniaga kuih di hadapan sebuah bank demi mengumpul wang untuk kos rawatan perubatan.
Selain itu, beliau turut membawa mereka membeli baju raya dan beberapa kelengkapan Aidilfitri. – BOOM!