Setelah berbulan-bulan menjadi spekulasi hangat, Ben Affleck akhirnya bersuara mengenai perceraiannya dengan Jennifer Lopez.
Dalam satu temu bual bersama GQ, aktor dan pengarah terkenal itu menegaskan bahawa tiada sebarang drama besar di sebalik perpisahan mereka.
“Tiada skandal, tiada opera sabun, tiada konspirasi,” kata Affleck.
“Kebenarannya, kalau ada yang bertanya ‘Apa yang terjadi?’ jawapannya tidak semudah itu. Ia hanya kisah tentang dua individu yang cuba memahami kehidupan dan hubungan mereka.”
Affleck turut menambah bahawa dia enggan berkongsi butiran lanjut kerana merasakan hal itu terlalu peribadi.
Biarpun rumah tangga mereka tidak bertahan lama, Affleck menegaskan bahawa dia masih menghormati bekas isterinya itu.
“Saya tiada apa-apa selain rasa hormat kepadanya. Saya tahu ramai yang mahu mencari punca utama, tetapi sebenarnya, hakikatnya jauh lebih biasa daripada yang disangka.”
Untuk rekod, Ben Affleck dan Jennifer Lopez pernah bercinta pada awal 2000-an dan hampir berkahwin sebelum berpisah.
Bagaimanapun, mereka kembali menjalinkan hubungan pada 2021, berkahwin pada 2022, namun akhirnya bercerai pada Ogos 2024. – BOOM!