Datuk Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkuat kuasa semalam, menggantikan Datuk Kamil Othman yang kini memegang jawatan sebagai Penasihat Industri kepada FINAS.
Hans menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan memberikan yang terbaik demi kepentingan industri seni tanah air.
Hans mengakui gembira apabila diberikan peluang sekali lagi selepas terpaksa melepaskan jawatan tersebut pada April 2020 ekoran ketidakseimbangan politik ketika itu.
“Kini, saya kembali ke industri yang berjaya melonjakkan nama saya ke suatu peringkat. Saya pernah menjawat jawatan ini sebelum ini tetapi terpaksa melepaskannya kerana faktor politik.
Banyak manifesto yang ingin saya laksanakan, termasuk memperjuangkan nasib tenaga kerja belakang tabir agar mereka mendapat pengiktirafan setimpal dengan usaha mereka,” ujarnya.
Hans sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada 2019, namun melepaskan jawatan tersebut pada 8 April 2020.
Kini, dengan pelantikannya semula, beliau bertekad untuk memastikan perkembangan industri filem tempatan terus maju ke hadapan. – BOOM!