Pelakon popular Korea, Lee Si Young kini dilaporkan sedang melalui proses perceraian dengan suaminya, seorang usahawan restoran, Encik Jo. Menurut laporan YTN pada 17 Mac, pasangan ini telah mengemukakan dokumen perceraian ke Mahkamah Keluarga Seoul awal tahun ini.
Difahamkan, kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat mengenai terma utama perceraian, namun masih dalam proses memuktamadkan beberapa perincian lain.
Lee Si Young, yang berkahwin dengan Encik Jo pada tahun 2017 ketika berada di puncak kerjaya lakonannya, pernah menjadi perhatian ramai kerana kejayaan suaminya yang digelar “Little Baek Jong Won” disebabkan empayar restoran yang dibinanya. Setahun selepas berkahwin, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.
Sepanjang perkahwinan mereka, Lee Si Young sering berkongsi kehidupan keluarganya di kaca TV menerusi program popular seperti ‘I Live Alone‘ dan ‘Point of Omniscient Interfere‘, memaparkan sisi rumah tangga yang kelihatan bahagia.
Namun selepas lapan tahun bersama, mereka akhirnya membuat keputusan untuk berpisah.
Lee Si Young memulakan kerjaya seni pada tahun 2008 dan mula dikenali menerusi drama hit ‘Boys Over Flowers‘ serta rancangan ‘We Got Married‘.
Selain bakat lakonan, beliau juga dikenali kerana imej atletiknya dan pernah memenangi kejohanan tinju amatur demi menjayakan watak dalam drama. – BOOM!