Siti Nordiana menafikan dakwaan kononnya dia sudah berkahwin seperti yang tular baru-baru ini.
Mengakui terkejut dengan berita itu, penyanyi yang mesra disapa Nana bagaimanapun bersyukur dan menganggap spekulasi tersebut sebagai doa buat dirinya.
“Saya pernah terbaca artikel mengenai berita perkahwinan dan sangat terkejut. Berita itu tidak sahih dan saya pun tidak tahu menahu daripada mana cerita ini datang.
“Apa-apa pun, saya hendak ucap terima kasih kepada mereka yang mendoakan yang baik-baik untuk jodoh saya. Kita serahkan sahaja soal jodoh kepada Allah SWT.
“Hati saya tidak pernah tertutup untuk kembali mendirikan rumah tangga… Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana program raya Astro 2025.
Tidak pasti dari mana khabar angin itu bermula, Nana menganggap ia bertebaran kerana dia sudah lama memegang status ibu tunggal.
“Mungkin cerita saya sudah kembali mendirikan rumah tangga timbul sebab saya sudah lama hidup solo. Macam itu lah… Kalau sudah lama hidup sendirian, kita pasti akan jadi sasaran gosip.
“Sebelum ini, saya kerap digosip dengan beberapa artis lelaki. Malah, ramai kenalan yang suka bergurau bertanya, bila hendak beritahu sudah berkahwin?” ujarnya.
Biarpun sering ditanya soal pasangan hidup, Nana tidak terasa hati malah sudah lali dengan persoalan itu.
Buat masa ini, penyanyi kelahiran Felda Sendayan itu hanya mahu memberi tumpuan kepada anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 17, dan berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Insya-Allah, saya bahagia jalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Saya sudah biasa dengan rutin hidup begini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana baru sahaja melancarkan lagu raya solo pertamanya berjudul ‘Hari Lebaran‘, ciptaan bersama Dian Rasid.
Lagu tersebut sudah meraih lebih 100,000 tontonan selepas seminggu dimuat naik di YouTube. – BOOM!
Sumber: Berita Harian