Walaupun kurang mendapat perhatian di Korea Selatan, drama ‘The Potato Lab’ yang dibintangi oleh Kang Tae Oh dan Lee Sun Bin berjaya mencipta fenomena global di Netflix.
Menurut laporan Nielsen Korea, episod pertama drama ini yang ditayangkan pada 1 Mac hanya mencatatkan 1.7% tontonan di seluruh negara, manakala episod kedua meningkat sedikit kepada 1.8%. Namun, situasi berbeza di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan data FlixPatrol pada 3 Mac, ‘The Potato Lab’ berjaya menembusi senarai Top 10 Global Netflix dan berada di kedudukan ke-7 dalam kategori rancangan TV. Malah, drama ini turut menduduki tangga ke-9 di pasaran terbesar Netflix, iaitu Amerika Syarikat – satu pencapaian yang luar biasa!
Drama ini juga menandakan kemunculan semula Kang Tae Oh selepas tamat perkhidmatan tentera, susulan popularitinya dalam ‘Extraordinary Attorney Woo’.
Meskipun rating di Korea agak suram, kejayaan global ‘The Potato Lab’ membuktikan bahawa nilai sesebuah drama tidak boleh diukur berdasarkan tontonan domestik semata-mata.
Ini adalah satu lagi bukti bahawa kualiti dan daya tarik sesebuah karya boleh mendapat pengiktirafan lebih luas di peringkat antarabangsa. – BOOM!