Selepas Ben Affleck dan Jennifer Lopez sah bercerai bulan lalu, hubungan mesra aktor itu dengan bekas isterinya, Jennifer Garner, terus menjadi topik hangat. Kini, selepas Daily Mail mendedahkan rakaman eksklusif yang menunjukkan momen intim antara Affleck dan Garner, sumber mendakwa JLo berasa “dikhianati” dengan keakraban mereka.
Dalam video tersebut, Affleck dilihat meletakkan tangannya pada pinggang Garner ketika mereka keluar bermain paintball di Los Angeles bersama dua anak remaja mereka. Momen ini mencetuskan spekulasi bahawa hubungan mereka lebih daripada sekadar ibu bapa yang berkongsi anak.

“[JLo] melihat gambar-gambar paintball itu pada masa yang sama dengan orang lain, dan sudah tentu, ia membuatkan dia mempersoalkan banyak perkara,” kata sumber terdekat penyanyi itu kepada Daily Mail.
Beberapa bulan lalu, Affleck dan JLo masih bergelar suami isteri, malah penyanyi itu terus menyokongnya dalam pelbagai cabaran peribadi. Kini, sumber mendakwa JLo berasa dikhianati kerana dia telah berusaha keras menyelamatkan perkahwinan mereka.
Affleck dan Lopez pernah bercinta pada 2002 sebelum putus tunang pada 2004. Mereka kemudian bersatu kembali pada 2021 dan akhirnya mendirikan rumah tangga pada 2022. Bagaimanapun, sejak awal lagi, perkahwinan mereka dikatakan mengalami masalah bahkan ketika bulan madu di Itali.
Menjelang 2024, Affleck akhirnya keluar dari rumah mewah mereka bernilai $68 juta di Beverly Hills dan berpindah ke kediaman sewa berdekatan rumah Garner.
Adakah Ben Affleck dan Jennifer Garner kembali sebagai pasangan? Atau ini sekadar hubungan baik antara ibu bapa yang berkongsi anak? Hanya masa yang akan menentukan. – BOOM!