Pelakon dan pelawak, Harith Iskander, serta Cecelia Yap Song masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan memuat naik kandungan serta komen jelik mengenai agama Islam di Facebook bulan lalu.
Menurut kenyataan rasmi SKMM, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang hanya akan berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Dalam kes Cecelia Yap, dia didakwa mencetuskan kontroversi dengan hantaran berunsur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’. Sementara itu, Harith Iskander pula memuat naik gambar segelas kopi yang dinamakan “hamsap kopi” berharga RM5.50, sambil menyatakan bahawa dia berasa keliru dan imannya tergugat kerana perkataan ‘ham’ digunakan.
Ekoran kontroversi ini, Meta telah menurunkan kandungan terbabit, dan permohonan untuk menutup akaun Facebook kedua-dua individu itu sedang dalam penelitian dan penilaian pihak Meta.
Dalam perkembangan lain, SKMM turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis berhubung video yang mempersendakan agama Hindu, yang dimuat naik ke akaun TikTok stesen radio Era FM.
Kes ini sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan, terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat. – BOOM!