Kemelut antara Agnez Mo dan Ari Bias mengenai hak cipta dan royalti semakin memuncak, hingga dikatakan memecah belah pemuzik antara penyanyi dan pencipta lagu. Dalam kontroversi ini, Ahmad Dhani tampil sebagai penyokong kuat Ari Bias, namun tindakannya itu membuatkan segelintir pihak menuduhnya merosakkan ekosistem industri muzik.
Namun, Ahmad Dhani menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dia mahu membetulkan sistem sedia ada agar lebih adil kepada penulis lagu.
“Setakat ini, ekosistem yang ada, penulis lagu dapat kosong, penyanyi dapat 100. Jadi, hentikan, hentikan cakap ekosistem ini diganggu,” katanya menerusi saluran YouTube Video Legend baru-baru ini.
Menurutnya, beliau tidak membangkang pembahagian LMKM tanpa sebab, sebaliknya mahu membina sistem lebih seimbang supaya penulis lagu turut mendapat manfaat yang sepatutnya.
“Sebenarnya, kami mahu memperbaiki ekosistem ini dengan betul, supaya penulis lagu juga boleh memperoleh pendapatan,” tegasnya lagi.
Kontroversi ini bermula apabila Mahkamah Niaga Jakarta Pusat memutuskan Agnez Mo bersalah dalam kes saman dengan Ari Bias dan mengarahkannya membayar denda Rp 1 bilion.
Keputusan ini mencetuskan perdebatan hangat kerana sejak Akta No. 28 Tahun 2014 dikuatkuasakan, perbincangan mengenai perbezaan Artikel 9 dan 23 dalam undang-undang hak cipta jarang berlaku.
Kini, perdebatan antara hak penyanyi dan pencipta lagu terus menjadi tumpuan dalam industri muzik Indonesia. – BOOM!