Pelakon Ellie Suriaty akhirnya bersetuju untuk bertemu dengan pempengaruh sensasi, Imran Bard, bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.
Menurut Ellie, pertemuan itu akan diadakan selepas Imran pulang ke Kuala Lumpur, selepas menyambut Ramadan di kampung halamannya.
“Pihak saya telah memberikan maklum balas kepada Imran Bard beberapa hari sebelum kita menyambut Ramadan. Saya bersetuju dengan permintaannya untuk berjumpa. Namun, menurutnya dia masih berada di kampung. Saya memahami. Maka, Insya-Allah perjumpaan akan diadakan sekembali dia ke Kuala Lumpur kelak,” katanya.
Ellie turut menjelaskan bahawa pertemuan ini bakal menentukan sama ada dia akan meneruskan tindakan saman terhadap Imran Bard atau sebaliknya.
“Sesi pertemuan ini akan menjadi penentu, sama ada saya akan meneruskan proses saman atau tidak. Bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf darinya kepada saya. Saya berharap agar Allah SWT mempermudah segalanya.”
Terdahulu, konflik antara Ellie dan Imran Bard tercetus selepas pempengaruh itu didakwa membuat kandungan media sosial yang sensitif berkaitan pelakon berkenaan.
Ellie kemudian menuntut permohonan maaf daripada Imran, namun tuntutan itu diabaikan, sehingga mengundang pelbagai kecaman daripada netizen.
Kini, semuanya bergantung kepada sikap dan keikhlasan Imran Bard dalam menyelesaikan isu ini. Apakah pertemuan ini bakal menamatkan konflik mereka atau membawa kepada tindakan saman? Sama-sama kita nantikan. – BOOM!