Pelakon sensasi, Zarina Anjoulie meluahkan rasa kesal selepas mengalami jangkitan akibat pembedahan plastik yang dilakukannya di Vietnam tahun lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Zarina atau lebih dikenali sebagai Anju, mendedahkan bahawa pembedahan hidung yang dijalankan bukan sahaja menyebabkan kesakitan, malah membuatkan dirinya demam dan sakit badan.
“Saya menyesal buat hidung dan tak nak buat lagi dah. Esok (hari ini) saya nak buka (silikon),” katanya.
Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, Zarina mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di ibu kota bagi membuang silikon tersebut.
“Nak tunggu buat di hospital lambat, jadi saya buat saja di sebuah klinik ini. Doktor kegemaran saya pun tak buat pembedahan, cuma keluarkan silikon itu sahaja.”
Selepas prosedur tersebut, Zarina bersyukur kerana keadaannya bertambah baik.
“Tengoklah sekarang, kemerahan pada hidung saya dah hilang dan jahitan pun sangat kemas,” ujarnya.
Namun, yang lebih mengejutkan, Zarina mendakwa proses pembedahan yang dilakukan di Vietnam sangat tidak bersih, sehingga menyebabkan hidungnya terkena jangkitan yang dikenali sebagai “silence infection”.
“Jangkitan itu dah ada sejak saya balik daripada Vietnam lagi. Nampak saja okay, tapi sakit di bahagian dalam, saya saja yang tahu.”
Lebih mengejutkan, Zarina turut mendakwa klinik di Vietnam itu menggunakan semula silikon dari pesakit lain.
“Bila saya buka tadi, rupa-rupanya silikon itu mereka dah guna pada orang lain. Lepas itu, mereka cuci dan pakaikan pula kepada saya!”
Sebelum ini, Zarina pernah menerima kecaman selepas berkongsi wajahnya sebelum dan selepas menjalani prosedur tersebut. Kini, dia mengakui menyesal dengan keputusannya dan berharap agar kejadian ini menjadi pengajaran buat dirinya dan orang lain. – BOOM!