Dunia hiburan dan peminat pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, dikejutkan dengan berita pemergian isterinya, Akiko Okumura, pada Jumaat.
Perkhabaran sedih itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menerusi hantaran di media sosialnya.
“Al-Fatihah untuk arwah isteri saya, Akiko Okumura telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya,” tulisnya ringkas.
Pemergian Akiko mengejutkan ramai, lebih-lebih lagi apabila dia masih sempat muncul dalam siaran langsung malam sebelumnya.
Buat masa ini, punca kematian Akiko masih belum diketahui, manakala anak saudara Ridzuan, aktres Zarina Zainuddin, turut enggan memberi sebarang kenyataan.
Sebagai info, Ridzuan dan Akiko yang berasal dari Jepun mendirikan rumah tangga pada Februari 2009. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Sky Taizo Okumura, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-13 semalam.
Takziah diucapkan kepada keluarga Ridzuan Ridzokumura. – BOOM!