Pelakon Sari Yanti mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran istimewa di Instagram sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-9 bersama pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu.
Dalam hantaran tersebut, Sari berkongsi foto dirinya yang memegang sejambak bunga mawar merah dan merah jambu sambil berdiri di sebelah Jep. Lebih menarik, gambar itu dirakam oleh anak perempuan mereka, Dariya Inara.
Selain menzahirkan rasa syukur dan doa buat rumah tangga mereka, Sari juga berterima kasih kepada Dariya kerana menjadi jurugambar untuk momen istimewa itu.
Namun, apa yang lebih mencuit hati adalah komen berseloroh daripada Jep yang menyifatkan gambar yang diambil oleh Dariya seolah-olah menggunakan kamera lama.
“Macam pakai Kodak eh Dariya,” tulis Jep di ruangan komen, mencetuskan gelak tawa netizen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut terhibur dengan komen spontan Jep dan memuji kecomelan keluarga bahagia ini.
Sekadar info, Sari Yanti dan Jep mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Dariya Inara, Muhammad Khidir, dan Abu Bakr. – BOOM!