Penyanyi Ernie Zakri meluahkan rasa simpati terhadap rakan seperjuangannya, Aina Abdul, yang berdepan kecaman netizen selepas tidak memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39).
Ernie, 33, mengakui memahami perasaan Aina kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa buli siber sebelum ini.
“Meskipun tidak berada di tempat Aina, tetapi saya memahami apa yang dirasakan. Impak AJL sangat luar biasa kepada kesihatan mental.
“Mungkin Aina menjadi sasaran kerana dia adalah Aina Abdul. Seorang penyanyi yang memiliki nama besar, jadi sasarannya lebih ke arahnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Ernie Zakri Live in Singapore, semalam.
Bagi menjaga kesihatan mental, Ernie mempunyai cara tersendiri untuk mengelak daripada terkesan dengan kecaman netizen.
“Biasanya, saya akan hindari media sosial setiap kali selesai menjayakan acara besar seperti konsert dan AJL.
“Selepas tiga, empat hari dan biarkan semua surut, barulah saya tengok media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, pemenang trofi Vokal Terbaik AJL 39 itu turut mendoakan Aina agar terus tabah menghadapi dugaan ini.
“Saya percaya Aina seorang yang kuat kerana ini bukan kali pertama dikecam. Tapi sudah semestinya Aina terkesan kerana saya ada terbaca juga.
“Saya tak faham kenapa perkara itu perlu diperbesarkan sebegitu. Saya harap semangat Aina akan kembali pulih dan mendoakan kejayaannya, insya-Allah,” ujar Ernie.
Sebelum ini, Aina mengakui terguris dengan kecaman berterusan sehingga menangis dan berkurung di rumah selama seminggu selepas AJL 39. – BOOM!