Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengejutkan ramai apabila secara terbuka mengakui bakal menuntut cerai daripada suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs) malam tadi, Nora, 52, menjelaskan keputusan itu dibuat demi memenuhi permintaan anak tirinya, Aya Shahirah Rushdi, yang dikatakan sudah lama mengharapkan perpisahan antara mereka.
“Saya akan penuhi permintaan Aya dari dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah, Ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan,” luahnya.
Menurut penyanyi Renungan Terakhir itu, dia juga berharap perceraian ini dapat menghentikan segala fitnah dan kecaman yang dilemparkan terhadapnya di media sosial.
“Saya sedang memujuk Ustaz untuk ceraikan saya buat kali kedua supaya tiada lagi kata-kata fitnah, caci maki dan hasutan masyarakat membenci saya.”
Sebagai langkah mengelakkan kontroversi berpanjangan, Nora turut memadam semua gambar bersama suaminya di Instagram.
“Saya sudah memadam semua gambar kami, yang ada cuma gambar ramai-ramai. Saya minta maaf dan mengaku semuanya salah saya. Ustazah Rose insan yang mulia, tidak pernah salah.”
Dalam hantaran berasingan, Nora memberi bayangan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah terhadapnya sejak beberapa tahun lalu.
“Sejak 2019, saya tidak pernah bersuara atau respon terhadap semua kata-kata yang ditujukan pada saya dalam media sosial. Tapi kini, kerosakan sudah berlaku. Biar undang-undang menentukan.”
Terdahulu, kontroversi antara Nora dan anak tirinya tercetus apabila penyanyi itu mendakwa dirinya digelar ‘wanita sundal’. Namun, Aya menafikan tuduhan itu dan mendakwa mempunyai bukti perbualan yang menunjukkan Nora juga pernah memaki hamun keluarganya.
Sebagai info, Nora dan Rushdi berkahwin pada 2021. Namun, pada Ogos tahun lalu, Nora pernah memuat naik video suaminya melafazkan cerai terhadapnya sebelum mereka kembali rujuk pada September 2024. – BOOM!