Anggota BTS, V sekali lagi mencuri perhatian apabila gambarnya dalam uniform tentera kembali tular. Sebelum ini, V berkongsi foto Tahun Baru Lunar di hadapan Compose Coffee, jenama yang diwakilinya, dan peminat teruja melihatnya kelihatan sihat serta segak seperti biasa.
Terbaru, pada 19 Februari, seorang peminat berkongsi foto baru V dalam pakaian tentera yang sama. Menurutnya, dia secara tidak sengaja bertemu dengan V di sebuah rangkaian makanan segera, Lotteria di Chuncheon, pada Disember lalu.
“Guys, ada update baru tentang V Oppa! Seorang peminat secara kebetulan bertemu dengannya di Lotteria dan dia membenarkan mereka mengambil gambar,” kongsi peminat tersebut.
Gambar itu segera menjadi bualan di media sosial, dengan ramai netizen terpukau dengan ketampanan V dan dalam masa yang sama, cemburu dengan peminat bertuah yang berpeluang bertemu dengannya secara langsung. – BOOM!