Pelakon dan model terkenal, Zahnita Wilson, berkongsi kisah gelap dalam hidupnya apabila pernah mengalami kemurungan kronik sehingga membuat keputusan untuk menyerah diri ke wad psikiatri pada 2019.
Namun, ketika berada di sana, dia melihat keadaan pesakit lain yang jauh lebih teruk, membuatkan dirinya tersedar.
“Saya rasa saya tak sepatutnya ada di situ,” katanya sebelum memutuskan untuk pulang dan mencari ketenangan dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Menurut Zahnita, membaca al-Quran dan berdoa banyak membantunya mendapatkan semula kekuatan. Dalam masa yang sama, suaminya, Abdul Zackery, adalah individu yang membawanya mendapatkan rawatan setelah melihat keadaannya yang membimbangkan.
Bagaimanapun, selepas pelbagai ujian dalam rumah tangga, Zahnita akhirnya memfailkan cerai pada 3 Disember 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang. Ini susulan pendedahan mengenai penderaan domestik dalam perkahwinannya.
Suaminya ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Zahnita. Sebaliknya, Zackery mendakwa dirinya adalah mangsa sebenar keganasan rumah tangga dan mendedahkan bahawa Zahnita telah beberapa kali memohon cerai sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka.
Pasangan ini berkahwin pada 2005 dan dikurniakan empat anak: Zahrafeena (18), Zasharayna Ghouse (13), Zahlia Syawwal (8), dan Abd Zayden Ghouse (4).
Kini, Zahnita memilih untuk bangkit dan lebih fokus pada kerjaya. Baru-baru ini, dia dilantik sebagai duta kempen raya 2025 bagi NR Cosmetics. – BOOM!