Legenda muzik Malaysia, KRU, mencuri perhatian apabila mereka dilihat menikmati makan malam bersama kumpulan penari yang sinonim dengan persembahan mereka pada era 90-an, DanceKRU. Pertemuan eksklusif ini berlangsung di sebuah restoran di The Curve, Mutiara Damansara, sekali gus mencetus spekulasi dalam kalangan peminat.
DanceKRU yang dianggotai oleh Nurul, Am, Adik, dan Dino kali terakhir beraksi bersama KRU di konsert “KRU Gergasi” di Istana Budaya pada Mei 2018. Mereka tampil sebagai penari undangan untuk lagu “Mengerti,” yang ketika itu disangka menjadi persembahan terakhir mereka bersama kumpulan ikonik tersebut.
Bagaimanapun, dengan pengumuman konsert malam ketiga “GenKRU” di Axiata Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini, harapan peminat untuk menyaksikan gabungan semula KRU dan DanceKRU semakin membara. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 3, 4, dan 10 Mei 2025 itu bakal menjadi detik bersejarah bagi pengikut setia KRU, dan pertemuan baru-baru ini menambahkan lagi debaran.
Norman KRU dalam satu hantaran di media sosial menafikan spekulasi tersebut dengan menyatakan bahawa mereka hanya bertemu untuk mengenang kembali kenangan lama. Namun, dalam dunia hiburan, kejutan sentiasa menjadi elemen yang dinanti-nantikan. Jika benar DanceKRU bakal kembali menari bersama KRU di pentas GenKRU, ia pasti menjadi momen epik yang akan diingati peminat selamanya.
Adakah ini sekadar pertemuan biasa atau petanda sesuatu yang lebih besar bakal terjadi? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya. – BOOM!