Hantaran usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli bersama aktres jelita, Diana Danielle mencetuskan pelbagai reaksi netizen di media sosial. Berpakaian sedondon dalam busana merah, kapsyen romantik yang ditulis oleh Iqbal turut menarik perhatian ramai.
“Terima kasih telah hadir di sisi dan di hati saya. Terima kasih mengajar banyak kebaikan dalam hidup,” tulisnya, seolah-olah meluahkan sesuatu yang lebih daripada sekadar persahabatan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai spekulasi mengenai hubungan sebenar mereka. Ada yang mendoakan kebahagiaan mereka, namun ada juga yang kurang senang, memandangkan Diana masih berstatus isteri Farid Kamil.
Dalam pada itu, Iqbal sempat menempelak seorang individu yang menuduh Diana sebagai mata duitan.
“Jangan lantang begini, kurang sopan. Diana kerja keras setiap hari demi anak-anak sejak dulu. Tidak pernah pula minta macam-macam dari saya,” tegasnya.
Sebagai info, pada 28 Oktober tahun lalu, Diana mengumumkan mahu bercerai dan bakal memfailkan penceraian terhadap Farid buat kali kedua. Namun, sehingga kini, mereka masih sah sebagai suami isteri selepas Farid enggan melafazkan cerai.
Kes pasangan ini akan disambung semula pada 24 Mac depan. Adakah hubungan Diana dan Iqbal sekadar kawan atau lebih daripada itu? Netizen terus berteka-teki! – BOOM!