Dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih apabila anak bongsu kepada pelakon Ayu Raudhah dan pemain bola sepak Zaquan Adha, Muhammad Aisy Al Raees, meninggal dunia dalam tidur pada Selasa, sekitar jam 1 petang.
Menurut kakak Ayu, pelakon dan usahawan Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta, bayi lelaki berusia enam bulan itu tidak sedarkan diri di kediaman mereka di Seremban, Negeri Sembilan.
“Aisy Al Rees meninggal dunia dalam tidur di rumah. Bila lihat arwah sudah tak sedar, Ayu Raudhah segera hubungi ambulans,” katanya ketika dihubungi.
Jenazah Aisy dibawa ke Hospital Rembau, dan keluarga berharap urusan pengebumian dapat diselesaikan pada malam yang sama.
Che Ta turut berkongsi bahawa dirinya sangat rapat dengan bayi tersebut memandangkan Ayu dan anak-anaknya sering bermalam di rumahnya pada hujung minggu.
“Memang kami terasa dengan pemergiannya kerana Aisy bayi yang sangat baik. Kami sangat rapat kerana Ayu dan anak-anaknya sering datang bermalam di rumah saya,” ujarnya.
Terdahulu, Zaquan Adha berkongsi berita duka itu di media sosial, memaklumkan pemergian anak bongsunya yang baru dilahirkan pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.
Salam takziah buat Ayu Raudhah, Zaquan Adha, dan keluarga atas kehilangan ini. – BOOM!
Sumber: Oh Bulan