Marygrace, 24, dinobatkan sebagai juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dalam pentas akhir yang berlangsung di Studio Ntv7, Glenmarie, malam tadi.
Dengan kemenangan ini, Marygrace membawa pulang hadiah lumayan bernilai RM1 juta, termasuk sebuah Peugeot 408 GT, wang tunai RM500,000, kontrak rakaman bersama Alternate Records, serta lagu baharu hasil ciptaan bintang muzik Indonesia, Ade Govinda.
Persembahan Marygrace dengan lagu Persamaan (Freedom) dan single baharu Titik Mula (ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak) mendapat pujian juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain, Cakra Khan, serta dua juri jemputan, Nicholas Saputra dan Faizal Tahir.
“Syukur Alhamdulillah… Mummy kita dapat pergi umrah. Terima kasih kepada semua yang beri peluang dan membimbing saya hingga ke tahap ini,” luah Marygrace sebak selepas diumumkan sebagai juara.
Naib juara, Kai Deva, membawa pulang RM50,000, manakala Jimi yang menduduki tempat ketiga menerima RM30,000. Tempat keempat pula milik Zazzleen dengan hadiah RM20,000.
Pentas akhir turut dimeriahkan dengan persembahan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Faizal Tahir, dan Cakra Khan, sebelum finalis menutup tirai dengan lagu Sejuta Kenangan.
Keputusan akhir ditentukan berdasarkan 60% markah juri dan 40% undian penonton. Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy bertindak sebagai pengacara sepanjang lapan minggu pertandingan ini berlangsung. – BOOM!