Choi Seung‑hyun atau lebih dikenali sebagai T.O.P, bekas ahli kumpulan K‑pop terkenal BIGBANG, bakal membuat comeback solo pertama selepas 13 tahun sejak lagu digitalnya Doom Dada pada 2013.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh T.O.P melalui hantaran di Instagram pada 31 Disember tahun lalu.
“Album baharu akan hadir tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga mendedahkan sesuatu yang dipercayai adalah judul mini album terbaharunya.
“Another dimension,” katanya.

Mini album itu bukan sahaja menandakan kembalinya T.O.P dalam dunia muzik tetapi juga merupakan karya solo pertamanya sejak beliau meninggalkan BIGBANG dan YG Entertainment pada 2023.

Pada masa sama, filem muzik untuk lagu terbaharunya dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menariknya, Nana, bekas ahli After School dan Orange Caramel yang kini seorang pelakon akan muncul dalam video muzik tersebut buat kali pertama mereka bekerjasama. -BOOM!










