Kruniverse Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan KRU, melancarkan Aiskrim Magika hasil kolaborasi bersama SD Guthrie Berhad, diinspirasikan daripada filem Magika (2010) dengan perisa tempatan dalam bentuk gelato buatan tangan.

Aiskrim Magika mengangkat perisa ikonik seperti cempedak, durian dan apam balik dalam versi gelato moden, menggabungkan nostalgia tempatan dengan elemen fantasi, menampilkan 11 perisa gelato diinspirasikan dari cita rasa rakyat Malaysia.

Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, pelancaran Aiskrim Magika ini membuka laluan baharu KRU dalam industri F&B, dengan jenama Magika kini ‘hidup’ sebagai pengalaman yang boleh dirasai, bukan sekadar ditonton.
“Aiskrim Magika merupakan satu langkah menarik buat Kumpulan Syarikat KRU dalam pengembangan kami ke dalam sektor hospitaliti dan F&B.

Jelasnya lagi, kerjasama KRU dan Guthrie menggabungkan inovasi mampan dengan penceritaan kreatif, menjadikan Aiskrim Magika produk berasaskan tumbuhan yang berteraskan bahan tempatan.
“Jenama Magika sentiasa melambangkan imaginasi, keajaiban dan identiti Malaysia.
“Melalui kolaborasi bersama Guthrie ini, kami berbesar hati menterjemahkan semangat tersebut ke dalam sebuah produk yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga, di mana magis bukan sahaja dapat dilihat, tetapi juga dirasai,” katanya.

Pelancaran Aiskrim Magika menandakan pengembangan Kruniverse ke sektor F&B, membawa dunia Magika ke pengalaman sebenar untuk seisi keluarga.
Aiskrim Magika kini dijual di Rimba Café, Putrajaya dan bakal diperluaskan lagi ke Aneka Walk, Shah Alam serta Magika Studios, sebuah tarikan baharu yang bakal dibuka di Klang, Selangor. – BOOM!










