Kumpulan Pop Rock Malaysia Insomniacks buat julung kali dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim bagi tahun 2025.

Pemain bassnya, Wan Arif Iskandar Adnan menzahirkan rasa syukur kerana kumpulan itu tidak pernah berada di kedudukan teratas dalam mana-mana carta muzik.
“Ini kali pertama kami dapat nombor satu. Sebelum ini, kami berada di tiga atau lima teratas.
“Jadi, ya, ini memang kali pertama kami berada di nombor satu. Baru dapat tahu, jadi agak mengejutkan. Bersyukur dan gembira.
“Tujuan kami adalah untuk terus berkembang setiap tahun dan pencapaian ini memang menakjubkan,” katanya.

Seorang lagi anggota Insomniacks, vokalis, Danial Lee Hashim memberitahu bahawa mereka sekarang sedang fokus kepada perancangan jangka panjang dan projek baharu bagi tahun ini.
Beliau turut meluahkan kesyukuran kerana lagu kumpulan itu menjadi kesukaan ramai.
“Alhamdulillah. Orang ramai suka lagu kami. Setakat ini, karya kami tidak terus meletup, tetapi ia berkembang secara perlahan-lahan.
“Saya percaya lima tahun kemudian orang masih mendengar lagu kami. Lagu yang dihasilkan perlu didengar beberapa kali, selepas itu barulah mereka akan menyukainya,” katanya dipetik Gempak.

Tambah Iskandar lagi, lagu yang dihasilkan mereka akan kekal relevan walaupun sudah berusia 5 tahun sejak diterbitkan.

Jelas beliau, kandungan lagu yang dicipta mempunyai makna yang boleh dikaitkan dengan kehidupan pendengar.
“Lagu-lagu kami menjadi lebih besar apabila orang mendengarnya dan mencipta cerita mereka sendiri.
“Apabila mereka melalui pengalaman hidup, mereka boleh mengaitkannya dengan lagu berkenaan. Dari situ, lagu itu menjadi lebih bermakna dan besar.
“Kami berkawan dengan peminat, berbual seperti kawan. Kami tidak terlalu banyak membuat hantaran. Lebih kepada berbual dalam Telegram dan banyak berinteraksi dengan peminat ketika ada persembahan,” katanya. -BOOM!









