Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, menegaskan beliau tidak pernah memaksa mana-mana syarikat pengiklanan untuk mengambil dirinya dan suami sebagai pakej pasangan atau tampil bersama bagi mempromosi produk. Menurut Erra, permintaan untuk tampil berdua hadir secara semula jadi selepas perkahwinan mereka.

“Banyak juga permintaan untuk kami hadir berdua. Mungkin kerana vibe (aura) pengantin baharu itu masih dirasai, jadi ada pihak yang mahu kami tampil bersama dalam pelbagai acara,” katanya dipetik Berita Harian.
Erra berkata kemunculannya bersama suami bertujuan memberi sokongan kepada perniagaan tempatan, khususnya produk Bumiputera.

Mengulas kehidupan selepas bergelar isteri, Erra mengakui perlu melakukan penyesuaian terutama dari segi jadual kerja.
“Kami senang berkomunikasi dan semua perkara dibincangkan secara terbuka. Sekarang ini, kami berada dalam fasa menyesuaikan diri,” katanya.
Terdahulu, Erra sah bergelar isteri kepada Mohamad Ezwan dalam majlis akad nikah di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, pada 12 Disember tahun lalu. — BOOM!









