Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat meluahkan rasa kesal apabila segelintir individu sewenang-wenang menyentuh perutnya ketika dia sarat hamil tanpa meminta izin.

Melalui satu hantaran di Threads, Ayda berkongsi perasaannya apabila berdepan situasi tidak selesa itu sambil meminta pandangan netizen mengenai batasan yang wajar.

“Kita tak kenal (tapi) terus datang pegang perut, jadi tak tau nak bagi reaksi macam mana. Nak cakap tak selesa tapi tak terkeluar daripada mulut ni,” katanya.

Ayda turut menyindir tindakan individu yang tidak mengendahkan sensitiviti ibu mengandung apabila mengajukan sesuatu soalan yang tidak wajar.
“Berapa bulan dah?; Oh kecil saja eh (saiz perut)? Normal ke saiz ni?” katanya.
Perkongsian itu mendapat respons ramai dengan seorang netizen mencadangkan agar Ayda berpura-pura menjawab panggilan telefon sebelum beredar meninggalkan situasi tidak selesa itu.

Seorang lagi menegaskan, menyentuh tubuh seseorang tanpa izin adalah perbuatan tidak wajar kecuali melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja.
“Sentuh tubuh badan dah kira salah melainkan ahli keluarga,” kata seorang lagi warga maya. – BOOM!








