Penyanyi Nubhan menafikan dia mencampak atau mengeluarkan barang peribadi bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek secara membabi buta.

Peserta Gegar Vaganza 12 (GV12) itu menegaskan, tindakan itu bukan dibuat dalam keadaan terburu-buru sebaliknya dilakukan atas nasihat peguam.
“Semua yang saya buat bersebab dan tidak mahu mengulas lanjut kerana perkara ini masih dalam prosiding mahkamah. Apa yang saya lakukan itu bukan terburu-buru atau membabi buta, semuanya melalui nasihat peguam. Selebihnya saya tidak dapat komen kerana menghormati proses mahkamah,” katanya dipetik Oh Bulan.

Nubhan juga menyatakan untuk memberi kerjasama tanpa sebarang alasan sekiranya Afifah membuat laporan polis berkaitan isu terbabit.

Terdahulu, Afifah membuat laporan polis mendakwa barangan peribadinya dipindahkan keluar tanpa notis sewaktu berada di luar negara.

Pasangan itu bercerai talak dua pada 2 Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor selepas 10 tahun melayari bahtera perkahwinan. –Boom!









