Bintang Hollywood, Kristen Stewart menyuarakan hasratnya untuk mengarah filem Twilight versi baru (remake) – karya yang melonjakkan kariernya – dengan bajet besar.

Kristen berkata dia bersedia memimpin pembikinan semula Twilight, menekankan komitmennya terhadap projek itu.
“Ya, sudah tentu. Saya akan membuat pembikinan semula. Saya sedang melakukannya. Saya komited,” katanya sewaktu ditemubual secara langsung di Entertainment Tonight malam tadi.

Kristen menjelaskan perbualannya dengan rakan tentang Twilight juga timbul baru-baru ini kerana stesen televisyen sering menayangkan siri filem itu di televisyen sempena cuti perayaan.
“Bayangkan jika kita mempunyai bajet yang besar dan banyak kasih sayang serta sokongan… saya ingin menyesuaikan diri,” katanya.

Kristen menegaskan apabila mengarahkan Twilight versi reboot, beliau akan mengekalkan penghormatan terhadap versi asal.

Dia turut memuji pengarah pertama Twilight, Catherine Hardwicke, serta semua pengarah lain yang terlibat, menyatakan penghargaan terhadap kerja mereka. –Boom!









