Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha memohon orang ramai supaya melaporkan sebuah akaun palsu di Instagram yang berulang-kali menggunakan imejnya dengan mendakwa dia sudah keluar Islam.

Menurut beliau, akaun terbabit telah beberapa kali digantung platform media sosial tersebut namun tetap muncul kembali untuk mengelirukan pengikutnya.

Daiyan menggambarkan betapa jenuhnya dia dengan dakwaan tidak berasas tersebut.
“Bolehkah semua orang tolong laporkan akaun ini, ia jelas sekali palsu dan saya sangat penat. Ia telah digantung berkali-kali tetapi terus muncul,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, netizen memaklumkan bahawa mereka sudah pun melaporkan akaun palsu terbabit.

Terdahulu, wujud sebuah akaun yang menggunakan nama sebagai @divyanatrisha di Threads menggunakan imej Daiyan tanpa izin untuk menyebarkan fitnah dengan menyatakan aktres itu kini telah berpindah agama dan menganut agama Hindu. -Boom!










