Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 23 Januari tahun depan untuk keputusan rayuan pendakwah selebriti Da’i Syed berhubung sabitan dan hukuman rogol terhadap seorang wanita pada 2019.

Menurut laporan Kosmo, pada prosiding rayuan semalam, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang mewakili Syed, menimbulkan isu berhubung kerelaan — sama ada hubungan tersebut berlaku secara sukarela atau dipengaruhi keadaan kesihatan mental mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman menegaskan bahawa isu kerelaan itu tidak perlu dibuktikan lagi kerana semua elemen pertuduhan telah diputuskan dan dibuktikan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 20 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Syed dilepaskan sementara selepas dipenjara 21 hari, bagi penggantungan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan didengar dan diputuskan.
Mengikut pertuduhan, Syed didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. -BOOM!









