Pelakon Millie Bobby Brown memfailkan beberapa aduan terhadap pelakon gandingannya, dalam siri Netflix, Stranger Things, David Harbour atas tuduhan mengganggu dan buli.

Millie, 21, terkenal kerana memainkan watak seorang gadis psikokinetik bernama Eleven dalam Stranger Things, manakala Harbour, 50, memainkan watak sebagai bapa angkatnya, Ketua Polis Bandar Jim Hopper.

Memetik sumber, The Daily Mail melaporkan terdapat banyak tuduhan dan siasatan berlangsung selama berbulan-bulan.
“Millie Bobby Brown memfailkan tuntutan gangguan dan buli sebelum mereka memulakan penggambaran musim lalu,” katanya.
Akhbar itu berkata, hasil siasatan tidak didedahkan, tetapi dakwaan itu tidak termasuk salah laku seksual.

Millie turut dilaporkan diiringi oleh wakil undang-undang peribadinya sepanjang penggambaran bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Hubungan profesional antara Millie dan Harbour kini menjadi perhatian ramai menjelang tayangan musim terakhir Stranger Things pada penghujung tahun ini. –Boom!









