Selebriti kontroversi, Kim Kardashian, mengejutkan peminat apabila mendedahkan bahawa beliau didiagnosis menghidap aneurisma otak akibat tekanan melampau yang dialami sewaktu berada dalam perkahwinan bersama bekas suaminya, Kanye West.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat semasa tayangan perdana musim ke-7 rancangan realiti The Kardashians yang disiarkan semalam.

Dalam satu sorotan klip, Kim dilihat menjalani imbasan MRI, dan keputusan menunjukkan terdapat aneurisma kecil pada otaknya. Menurut doktor, masalah kesihatan itu berpunca daripada tekanan emosi yang berpanjangan.
“Ada sedikit aneurisma… mereka cakap. Cuma disebabkan tekanan,” kata Kim.

Beliau turut berkongsi bahawa tekanan yang dialaminya turut menyebabkan penyakit kulit psoriasis kembali menyerang.
“Saya berasa lebih tertekan kerana perlu melindungi anak saya. Sudah lama saya tidak mengalami psoriasis (kali terakhir pada 2021 akibat perceraian), sekarang ia kembali,” jelasnya.
Walaupun berdepan ujian kesihatan yang serius, Kim kekal positif dan memberi tumpuan penuh terhadap empat anaknya hasil perkahwinan bersama Kanye West.

Pendedahan jujur Kim Kardashian mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat, yang menyorot bagaimana tekanan emosi boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal — walaupun kepada selebriti terkenal dunia.
— Boom!









