Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu sekali lagi menyentuh hati ramai apabila berkongsi momen bersama anak perempuannya, Thalita Jayla. Dalam satu hantaran di Instagram, Shuib dilihat sebak melihat Thalita berusaha keras berlatih vokal walaupun suaranya masih ‘crack’ akibat jangkitan influenza yang dialami baru-baru ini.

Shuib yang sememangnya dikenali sebagai bapa penyayang meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat berbuat banyak untuk membantu selain memberikan sokongan moral. “Maafkan daddy,” tulisnya ringkas, menandakan perasaan bersalah melihat anaknya bergelut dengan kesakitan namun tetap bersemangat untuk meneruskan latihan.

Reaksi peminat di ruangan komen sarat dengan kata-kata semangat, memuji ketabahan Thalita yang dilihat mewarisi bakat seni arwah ibunya, Siti Sarah.

Thalita yang sebelum ini terpaksa menarik diri daripada pusingan akhir “Talk To My Manager” kerana dikuarantin akibat jangkitan influenza, bakal kembali membuat kemunculan istimewa di Grand Finale TTMM pada Ahad ini. Aksi gandingan bapa dan anak ini pastinya mencuri perhatian ramai, sekaligus menjadi antara detik paling dinantikan dalam pentas akhir yang sarat emosi dan penuh debaran. – BOOM!









