Tumpuan rakyat Malaysia kini terarah kepada perkembangan terkini misi Global Sumud Flotilla (GSF) apabila seramai 12 aktivis kemanusiaan Malaysia dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa Israel. Antara yang mencuri perhatian ialah penyanyi terkenal Zizi Kirana, pendakwah selebriti Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi.

Kapal yang membawa ratusan aktivis daripada pelbagai negara itu dilaporkan diserbu ketika menghampiri perairan Gaza. Semua komunikasi diputuskan secara tiba-tiba, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar di kalangan keluarga, peminat dan rakyat Malaysia. Berita penahanan ini pantas menjadi bualan hangat di media sosial dengan ribuan warganet menzahirkan doa dan solidariti.

Rakan artis serta selebriti tempatan turut meluahkan rasa bimbang, malah ada yang segera mengadakan majlis solat hajat sebagai tanda sokongan. Ramai yang berharap agar usaha diplomatik dapat digerakkan segera bagi memastikan keselamatan semua aktivis termasuk barisan artis tempatan terbabit terjamin.

Misi GSF yang bertujuan membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza kini dianggap antara detik paling mendebarkan, dan nama-nama artis yang terbabit menjadikan isu ini lebih dekat di hati masyarakat. – BOOM!









