Majlis Tayangan DiRaja filem “3 Hajat” berlangsung penuh gilang gemilang malam tadi di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. Acara berprestij ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, bersama paduka anakanda-anakanda.

Turut memeriahkan acara, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, bersama tetamu kehormat lain termasuk tokoh-tokoh besar industri perfileman tempatan serta pimpinan sektor awam dan swasta.

Suasana majlis bertambah istimewa apabila ramai penonton sebak dan tersentuh dengan lakonan mantap barisan pelakon hebat Eman Manan, Amerul Affendi, Zul Huzaimy dan bintang baharu Iman Aneesa. Filem ini bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh jiwa dengan kisah penuh makna yang berjaya mengangkat sinema tempatan ke kelas tersendiri.

Filem “3 Hajat” bakal menemui peminat di 70 pawagam seluruh negara mulai esok. – BOOM!










