Drama fantasi sejarah terbaharu, Bon Appétit, Your Majesty, mencipta fenomena apabila berjaya menembusi angka 15% tontonan hanya selepas enam episod ditayangkan.
Episod keenam yang disiarkan pada 7 September lalu mencatat purata 13.1% tontonan di kawasan metropolitan Seoul dengan kemuncak 15.1%.

Secara keseluruhan di seluruh Korea, drama ini merekodkan purata 12.7% dengan kemuncak 14.5%, sekaligus mencipta rekod peribadi baharu dan muncul sebagai drama tvN paling tinggi rating tahun ini.
Sejak tayangan perdana pada 23 Ogos lalu dengan hanya rating sebanyak 4.9%, drama ini melonjak secara konsisten dengan 6.6% (episod 2), 7.6% (episod 3) dan 11.1% (episod 4) sebelum akhirnya mencecah 15%.
Bon Appétit, Your Majesty mengisahkan seorang chef Perancis terkenal yang melakukan perjalanan merentasi masa ke era Joseon.
YoonA membawakan watak Yeon Ji Yeong, manakala pendatang baharu Lee Chae Min tampil sebagai Raja Lee Heon, mencetuskan percintaan manis di sebalik intrik istana.
YoonA menerima pujian kerana berjaya menggabungkan komedi, romantik, dan emosi mendalam dalam watak Yeon Ji Yeong, manakala chemistry bersama Lee Chae Min turut menjadi tarikan utama.


Lebih membanggakan, drama ini bukan sahaja meletup di Korea tetapi turut mencatat kejayaan global apabila menduduki tempat pertama Netflix di 29 negara termasuk Korea dan Jepun, serta tersenarai dalam Top 10 di 91 negara. – BOOM!
Sumber: AllKPop










