Pasangan legenda Hollywood, Snoop Dogg dan Shante Broadus, baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-28 pada 14 Jun lalu.
Walaupun bergelar selebriti terkenal, sambutan pasangan ini di media sosial cukup bersahaja namun penuh makna.

Snoop, 53, memuat naik foto mereka berdua di karpet merah dengan kapsyen ringkas berbentuk emoji hati biru sambil menandai nama isterinya.
Shante pula berkongsi koleksi gambar kenangan sejak zaman remaja mereka, termasuk gambar lama sewaktu mereka ke prom bersama pada tahun 1989.
Pasangan ini adalah kekasih zaman sekolah menengah di Long Beach Polytechnic High School, California.
Mereka berkahwin pada Jun 1997 di Ritz-Carlton, Marina Del Rey, sebelum berpisah seketika pada 2004. Namun, mereka telah memperbaharui ikrar perkahwinan pada tahun 2008.
Dalam temu bual bersama PEOPLE tahun lalu, Snoop Dogg meluahkan rasa kagum terhadap isterinya, Shante Broadus.
Menurutnya, Shante bukan sahaja memahami dirinya sepenuhnya, malah merupakan seorang ibu yang hebat, nenek yang luar biasa, isteri yang cemerlang serta sahabat terbaik dalam hidupnya.

Snoop turut menyatakan bahawa isterinya tahu bila perlu menenangkannya atau membuatnya ‘jadi gila’ iaitu sesuatu yang sangat dihargainya sepanjang perkahwinan mereka.
Kini, mereka bukan sahaja sebagai ibu bapa kepada tiga orang anak; Cordé, Cordell dan Cori, malah telah pun bergelar datuk dan nenek kepada cucu-cucu tersayang.
Snoop turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Julian hasil hubungan terdahulu. – BOOM!









