Putera Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen, dan isteri baginda, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, selamat menimang cahaya mata sulung pada 8 Februari lalu.

Menerusi kenyataan dipetik dari Media Permata, Puteri Anisha dilaporkan selamat melahirkan seorang puteri pada pukul 8.50 pagi.
Berita gembira itu diumumkan secara rasmi oleh Pejabat Istana dan disambut penuh istiadat oleh keluarga diraja serta rakyat Brunei.

Dentuman 17 das tembakan meriam di perkarangan Istana Nurul Iman menjadi lambang kesyukuran dan sambutan bagi detik bersejarah.
“Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, dengan izin Allah SWT selamat meluaran seorang Puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447, bersamaan 8 Februari 2026.
“Dengan meluaran ini sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman,” kata kenyataan dipetik daripada Media Permata.

Putera Mateen dan Puteri Anisha mendirikan rumah tangga pada 11 Januari tahun lalu.
Putera Mateen sebelum ini berkongsi berita mengenai kehamilan anakanda sulung mereka pada Oktober lalu, mencetuskan ucapan tahniah daripada rakyat Brunei dan peminat diraja. – BOOM!










