Penyanyi sensasi, Shahir Zawawi yang baru saja membuat kemunculan semula mengakui masih berhubung dengan primadona filem Malaysia iaitu Erra Fazira.
“Sejujurnya, hingga ke saat ini kami masih lagi berkawan dan sentiasa bertanya khabar.
“Saya tidak akan sesekali memutuskan silaturahim yang telah dibina walau dengan sesiapa pun,” katanya ketika ditemui di sidang media program realiti terkini terbitan TV Al-Hijrah berjudul Hijrahkan Laguku.
Menurut Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi, 33, kali terakhir dia menghubungi Erra adalah beberapa hari yang lalu.
Ditanya adakah dia mengetahui gosip perkahwinan yang melanda temannya bersama seorang menteri baru-baru ini, jawab Shahir, dia ada mendengar berita itu.
“Saya ada dengar tentang hal itu tetapi saya tidak pasti kesahihannya. Kalau benar dia kahwin sekalipun, ia bukan hal yang salah dan saya tak terkejut.
“Paling penting, doa yang baik-baik saja. Saya doakan jodoh terbaik buatnya,” ujar Shahir.
Mengulas mengenai kemunculannya selepas agak lama sepi dari industri seni, kata Shahir, sebenarnya dia pernah merancang untuk muncul pada tahun lalu, namun pandemik telah membantutkan hasratnya.
“Tahun ini apabila kerajaan memberi kelonggaran dan membenarkan rakyat kembali bekerja seperti biasa dan kebetulan saya dijemput untuk program ini, jadi saya terima.
“Saya masuk program ini bukan untuk menyatakan saya sudah berhijrah. Tetapi sebagai menghargai sokongan peminat.
“Program ini baik untuk pengkarya seni dan alang-alang itu, inilah peluang terbaik untuk saya kembali aktif,” tambahnya mengakhiri perbualan. – BOOM!