Desas-desus mengenai perkahwinan Justin Bieber dan Hailey Rhode Bieber semakin hangat diperkatakan apabila timbul spekulasi bahawa rumah tangga mereka kini di ambang kehancuran. Selepas hampir enam tahun berkahwin, sumber mendakwa pasangan ini mungkin menuju ke arah perceraian.
Lebih mengejutkan, laporan turut menyebut bahawa keutamaan Hailey kini adalah anak mereka, Jack Blues. Pengasas jenama kecantikan rhode itu dikatakan mahu menjauhkan diri daripada Justin demi kesejahteraan anaknya dan mungkin akan menuntut sebahagian daripada harta penyanyi itu serta hak penjagaan penuh ke atas bayi mereka yang baru berusia lima bulan.
Menurut sumber kepada The US Sun, Hailey sudah lama bergelut dengan perkahwinannya.
“Hailey dah lama berdepan kesukaran sejak awal perkahwinan. Dia sangat mencintai Justin, tapi dia seorang yang sukar dikawal,” kata seorang individu terdekat.
Tekanan emosi dan mental yang dialami Hailey menyebabkan rakan-rakannya mendesak dia untuk meninggalkan Justin kerana percaya sikap suaminya itu semakin tidak terkawal.
Selain masalah rumah tangga, Justin turut dikatakan berdepan kegelisahan susulan kes perbicaraan pemerdagangan seks membabitkan bekas mentornya, Sean ‘Diddy’ Combs. Laporan National Enquirer mendakwa Justin bimbang sekiranya dia perlu memberikan keterangan dalam kes itu.
“Dia takut pendedahan mengenai hubungannya dengan Combs boleh merosakkan karier dan hidupnya,” dakwa sumber.
Sebelum ini, peminat mula curiga apabila Justin dilaporkan telah berhenti mengikuti Hailey di Instagram. Namun, perkara itu segera dinafikan oleh Justin yang mendakwa akaunnya telah digodam. Walaupun belum ada sebarang pengesahan rasmi, ketegangan antara pasangan ini jelas terasa dan masa depan perkahwinan mereka kekal menjadi tanda tanya. – BOOM!