Pelawak Ali Puteh hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan dia membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali.
Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sama yang menolak tuntutan samannya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah, berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung melalui akaun Youtube usahawan kosmetik terbabit.
Selain itu, Ahmad Shahrir juga menolak rayuan Siti Nor Hidayah yang merupakan isteri Allahyarham pelawak Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti seperti yang diperintahkan mahkamah pada 18 Februari lalu selepas membenarkan tuntutan samannya.
Peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Ali Puteh, 34, berkata setakat ini dia tidak menerima apa-apa arahan susulan daripada anak guam sama ada untuk mengemukakan rayuan.
Konflik antara Siti Nor Hidayah dan keluarga Ali Puteh tercetus selepas kematian Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Ali Puteh, berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu melalui akaun Instagramnya. Ia antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat dan tamakkan harta pusaka suaminya.
Ali dan tiga ahli keluarganya juga memfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu. – BOOM!
Sumber BH Online