Dramatis senior, Shahriza Mahmud, 56, memaklumkan kehidupannya semakin sukar sejak dijangkiti kencing tikus pada 1 Januari lalu hingga menyebabkannya hampir lumpuh.
Shahriza berkata, dia dan suami, Saddiq Raffali, 41, berdepan ujian untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan, termasuk membiayai kos rawatan penyakitnya.
“Memang ramai kata bila saya dah sedar, mereka ingat saya dah sembuh. Hakikatnya kedua-dua belah kaki saya sekarang sangat lemah seperti orang lumpuh.
“Mulanya saya positif sebab sakit baru nak pulih dan nanti kaki akan kuat semula. Tetapi nampaknya kaki masih lembik dan tak boleh nak pijak langsung.
“Saya disahkan mengalami sakit saraf dan sakitnya tak mampu digambarkan. Ambil pil penahan sakit pun tak boleh hilang,” kongsinya.
Shahriza berkata, dia cuba bersikap positif meletakkan harapan untuk kembali berjalan pada Mei lalu, namun tetap gagal.
“Macam-macam perancangan termasuk menjalani fisioterapi, tapi sebab lama sangat duduk atas katil sekitar sembilan hingga 10 bulan, saya semakin tak berdaya.
“Walaupun duduk atas katil saya tetap buat macam-macam juga seperti berniaga dalam talian.
“Kerja saya selama 24 jam mengadap telefon. Saya cuba nak usaha kerja atas komisen. Buat jualan beribu-ribu tetapi yang untungnya orang lain. Kesudahannya memang tak cukup,” keluhnya.
Bantuan dan sumbangan daripada persatuan artis hanya bersifat sementara dan Shahriza berusaha mencari pendapatan dengan pelbagai cara.
“Saya sakit agak lama. Memang perlukan wang untuk beli lampin pakai buang, susu untuk kuatkan kaki, ubat, fisioterapi dan banyak lagi. Mungkin orang tak nampak itu semua.
“Bekalan elektrik di rumah kami pernah dipotong. Kami kemudian berniaga di sebuah lokasi selepas Aidilfitri berdekatan rumah dengan kadar sewa RM500 menggunakan ‘food trailer’.
“Kami tidur dalam kereta lepas berniaga selama sebulan. Sekarang lebih sebulan saya tak berniaga sebab sakit,” katanya. – BOOM!
Sumber: Harian Metro