Pasangan pendakwah kontroversi, Siti Afifah dan suaminya, Zaidi Tohrin memaklumkan akan memfailkan saman terhadap pihak tertentu yang didakwa telah memfitnah mereka.
Menerusi video dikongsikan di laman sosial, dalam nada marah, Zaidi dan Afifah mendakwa sudah lama menahan sabar dek tohmahan serta fitnah yang dilemparkan kepada mereka.
“Kami dah lama sabar dengan tohmahan dan fitnah yang kamu lontarkan. Kamu permain-mainkan, kamu bukan agamawan!
“Sebenarnya dah berbulan-bulan menahan sabar, tetapi peguam kata jangan, tak boleh, tunggu di mahkamah nanti.
“Tetapi malam ini, cukuplah kau memperolok-olokkan ulama (merujuk kepada diri mereka),” tegas Zaidi dengan tona suaranya yang tinggi kemarahan.
Malah dia turut menyarankan kepada golongan ustaz yang pernah menyanggah hujah-hujah mereka sebelum ini supaya mencari sebuah kitab dan membuat rujukan.
“Kepada ustaz-ustaz, cari dulu kitab ni (sambil memegang dan menunjuk sebuah buku) dan baca!” katanya mengusulkan cadangan kepada individu dimaksudkannya termasuklah penceramah selebriti terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus. – BOOM!