Pelakon dan usahawan berjaya, Tya Arifin mengakui gementar kerana tidak menyangka dapat bergandingan bersama birasnya, aktres terkenal Izara Aishah menerusi sebuah drama pendek berjudul Bagaikan Raya.
Menurut Tya, sepanjang bergelar menantu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Izara menjadi birasnya, ia adalah kali pertama mereka berlakon bersama.
“Saya teruja dan tidak sabar kerana ini kali pertama saya dan Izara bergandingan dalam sebuah drama.
“Saya agak gementar, sebelum ini sebagai satu keluarga, kami sudah biasa makan dan menghadiri acara bersama-sama cuma tidak sangka boleh berada satu ‘frame’ dengannya.
“Bagi saya Izara seorang pelakon yang hebat. Sangat senang bekerja dengannya, kalau tahu dari dahulu lebih baik kami berlakon bersama,” kongsi Tya.
Bercerita lanjut tentang drama pendek berkenaan, Tya yang juga pengasas jenama Mutyara menjelaskan, sudah menjadi tradisi syarikatnya menghasilkan sebuah karya yang unik khas untuk kempen raya sempena sambutan Aidilfitri.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/04/Screenshot-2022-04-26-144543-227x128.png)
Tahun sebelum ini pihaknya bergandingan dengan pelakon terkenal, Fauziah Nawi menerusi drama Sesudu Kebahagiaan, sementara tahun ini pihaknya memilih Izara Aishah untuk karya kedua.
Tambah Tya yang juga isteri kepada Asyraf Khalid itu, ini adalah pengalaman pertamanya memegang watak berbeza iaitu menjadi orang utara.
“Ini kali pertama saya berlakon sebagai orang utara. Sebelum ini tiada yang menawarkan watak sebegitu, biasanya saya hanya mendapat watak orang Indonesia sahaja,” ujar Tya.
Sementara itu, Izara yang juga isteri kepada Adib Khalid mengakui teruja untuk bergandingan dalam sebuah naskhah bersama Tya yang penggambarannya dilakukan awal Ramadan lalu.
“Alhamdulillah, tidak berasa janggal dan saya gembira mungkin sebab sudah biasa dengan dia. Semuanya berjalan lancar.
“Sebenarnya, ini kali pertama juga saya melihat dia berlakon, seorang yang sangat teratur apabila bekerja,” tutur Izara yang akan menyambut raya di Kuala Lumpur pada tahun ini.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/04/Screenshot-2022-04-26-144502-184x300.png)
Drama Bagaikan Raya diinspirasikan daripada kisah duka pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan kehilangan insan tersayang.
Ia mengisahkan dua adik-beradik yang sangat rapat pulang ke kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat menyambut raya bersama.
Suasana gembira bertukar pilu apabila mereka tersedar akan hakikat bahawa kedua-dua ibu bapa mereka telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Tya dan Izara mengharapkan drama pendek lakonan mereka sedikit sebanyak dapat memeriahkan sambutan Aidilfitri peminat dan orang ramai.
Drama pendek Bagaikan Raya mula bersiaran pada 22 April lalu di Instagram Tya Arifin dan Izara Aisyah serta di saluran YouTube, The Tya’s Family.- BOOM!