Tiket konsert Ratu Rock Ella, habis dijual dalam tempoh masa 24 jam, sekali gus memecahkan rekod penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, tiket Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang mula dijual pada 13 Mac lalu jam 12 tengahari telah terjual sebanyak 50 peratus hanya dalam tempoh dua jam sahaja.
Pihak penganjur, Hitman Solutions dan RockQueen juga terpaksa mengambil langkah untuk menghentikan jualan sementara kerana lebih dari 25,000 orang telah beratur di laman web mengakibatkan proses pembelian tergendala.
Namun, pihak penganjur berjaya menyelesaikannya dan penjualan disambung semula pada jam 5 petang dan selepas dua jam, 90 peratus tiket telah terjual dan hanya berbaki tiket kategori Rockzone.
Bagaimanapun, kesemuanya secara ramus habis dijual pada jam 12 tengahari semalam (Selasa).
Sehubungan itu, Ella mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan dan menyatakan rasa teruja untuk bertemu peminatnya pada 10 Jun nanti. – BOOM!